Latar akademik Abdullah Hassan

Beliau memperoleh ijazah B.A. (1967) dan M.A. (1969) dalam jurusan Linguistik Bahasa Melayu daripada Universiti Malaya dan Ph.D. (1972) dalam bidang Linguistik Am daripada University of Edinburgh, Scotland.

Beliau adalah bekas tenaga pengajar Universiti Sains Malaysia (USM), mula bertugas pada 1972 di Unit Pengajian Bahasa, menjadi Profesor Bahasa Melayu pada 1980, dan bersara pada 1997. Selepas bersara beliau dilantik menjadi Profesor Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 1997 - 2001, dan seterusnya menjadi Profesor Bahasa Melayu di UPSI sejak 2001 - 2011. Mulai Februari 2012, beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu, di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Beliau pernah menjadi Penyelaras Unit Bahasa, USM 1972 -1982, Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, 1982-1986 dan, Dekan, Pusat Pengajian Lanjutan 1986-1987. Semasa berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau menjadi Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, 1997-1998, dan Dekan Pusat Penyelidikan, 1998-2001. Dan semasa berkhidmat di UPSI, beliau juga pernah menjadi Pengarah, Institut Peradaban Melayu, 2008-2010.

Beliau pernah memegang British Commonweallth Scholarship (1969-72) Zamalah Fulbright-Hays di University of California, Berkeley, (1979), Pensyarah Perunding Mengenai Terjemahan di RELC Singapura (1980), Pemegang Kerusi Tun Razak Ke-4, di Ohio University, AS, (1987-89), dan Profesor Kunjungan di Jabatan Kajian Asia Timur, Universiti Frankfurt, Jerman (Okt. 2004).

Atas kesarjanaannya beliau dianugerahi gelaran Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada 2006.